• Sarawak Ambil Langkah Waspada

    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    MIRI: Selepas Sabah, hujan lebat dan angin kencang diramalkan melanda tujuh bahagian di Sarawak, khususnya di kawasan berhampiran pesisir pantai, dengan keadaan itu dijangka berlarutan sepanjang minggu ini.

    Selain Kuching, turut mengalami perubahan mendadak keadaan cuaca itu ialah Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah, malah kawasan rendah di kawasan berkenaan juga dikhuatiri berdepan risiko banjir.

    Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak turut mengeluarkan arahan berwaspada kepada semua penduduk di bahagian lain, termasuk Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

    "Keseluruhannya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana alam susulan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini, termasuk tanah runtuh, malah semua bilik gerakan di kawasan berisiko sudah diaktifkan.

    "Pejabat Residen di semua bahagian terbabit turut diarah memastikan pusat pemindahan banjir sedia ada dilengkapi semua keperluan asas diperlukan, manakala pangkalan hadapan juga dalam mod bersiap sedia, terutama dalam konteks bekalan makanan dan keperluan harian, selain peralatan berkaitan," katanya.

    Jurucakap Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak turut memaklumkan empat penempatan di sekitar Bandaraya Kuching iaitu Kampung Sungai Nada, Kampung Temenggong Haji Gobel, Kampung Lot Fasa 3 dan Kampung Sinar Budi Baharu ditenggelami banjir hampir satu meter.

    "Ia berikutan taburan hujan luar biasa yang berterusan sejak petang semalam hingga menyebabkan paras air sungai berhampiran meningkat secara mendadak sebelum melimpah. Bagaimanapun, keadaan banjir di kawasan terbabit terkawal, malah belum ada penduduk dipindahkan setakat ini," katanya.

    Katanya, semua penduduk di lokasi berisiko mengalami banjir atau tanah runtuh diingatkan agar sentiasa berwaspada, selain peka terhadap keadaan di sekeliling mereka bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

    "Kita juga meminta orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca melalui media massa dan laman sosial, malah segera berpindah jika diarahkan berbuat demikian. Langkah berwaspada amat perlu berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

    "Semua agensi berkaitan juga, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga sudah bersiap sedia diaturgerak pada bila-bila masa," katanya.

    Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan timur laut, dengan keadaan itu amat merbahaya bagi sebarang aktiviti nelayan atau rekreasi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak Ambil Langkah Waspada "