• Sanggup Telan Cincin Berlian, Wanita Ditahan

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Polis menahan seorang wanita selepas disyaki mencuri sebentuk cincin berlian dari sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, dengan cara menelan barang kemas itu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu jelas menunjukkan tindakan wanita terbabit.

    Beliau berkata, suspek pada mulanya tidak mengaku ada mencuri cincin berkenaan selepas pengurus kedai emas itu mendapati ia hilang, namun selepas semakan CCTV dibuat mendapati wanita itu menelannya.

    "Pada kira-kira jam 3.30 petang, suspek bersama anak lelakinya pergi ke kedai emas itu bertujuan untuk melihat barang perhiasan di premis berkenaan.

    "Pada mulanya, tiada apa-apa yang pelik berlaku dan suspek memilih serta melihat barang perhiasan yang dipamerkan.

    "Suspek kemudian meminta air teh untuk minum dan selepas itu, mangsa menyedari sebentuk cincin hilang," katanya.

    Menurutnya, kedai emas itu mengalami kerugian bernilai RM20,399 akibat tindakan suspek.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sanggup Telan Cincin Berlian, Wanita Ditahan "