• Salji Terburuk Di Eropah

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    LONDON: Salji tebal yang melanda Eropah kelmarin menyebabkan sekurangnya 300 penerbangan terpaksa dibatalkan di Jerman, perkhidmatan feri terjejas di Pelabuhan Calais, Perancis dan gangguan perjalanan di Britain.

    Salji terburuk di Eropah dalam tempoh empat tahun itu menyebabkan ribuan penumpang penerbangan terkandas di Frankfurt, Perancis dan Britain.

    Jurucakap pengendali lapangan terbang Frankfurt, Fraport berkata, kira-kira 330 penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 5 petang (waktu tempatan) terpaksa dibatalkan selepas salji turun dengan lebat.

    Lapangan terbang itu adalah hab dan ibu pejabat syarikat penerbangan Lufthansa yang dijadualkan mengendalikan sejumlah 1,260 penerbangan sehari.

    Di Britain, Lapangan Terbang Birmingham yang kedua terbesar terpaksa menggantung semua penerbangan di sebelah pagi untuk memberi laluan pekerja membersihkan landasan.

    Lapangan terbang itu pada kebiasaannya mengendalikan 200 penerbangan dengan kira-kira 30,000 penumpang setiap hari.

    Lapangan Terbang Luton di London pula terpaksa menutup landasannya selama dua jam sebelum membuka semula pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan) untuk memberi laluan kepada pesawat berlepas dan mendarat.

    Beratus-ratus sekolah juga terpaksa ditutup di Britain akibat salji tebal dan suhu sejuk melampau.

    Pihak berkuasa juga menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu kenderaan akibat cuaca buruk dan peningkatan kemalangan jalan raya.

    Sementara itu di Perancis, kira-kira 300 penumpang feri berdepan detik cemas apabila angin kencang menyebabkan feri itu terdampar di pantai hingga menjejaskan perjalanan mereka dari laluan pelabuhan paling sibuk di Calais.

    Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

    Syarikat tenaga Perancis, Enedis berkata, kira-kira 20,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik di kawasan utara Pas-de-Calais dan wilayah Nord akibat angin kuat.

    Hujan lebat turut menyebabkan penutupan dua lapangan terbang di pulau Corsica di Mediterranean, Perancis termasuk di Ajaccio.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Salji Terburuk Di Eropah "