• Salji Paling Buruk Di Eropah

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    LONDON: Sekurang-kurangnya 300 penerbangan terpaksa dibatalkan di Jerman, perkhidmatan feri terjejas di Pelabuhan Calais, Perancis dan gangguan perjalanan berlaku di Britain berikutan salji tebal melanda Eropah.

    Salji terburuk dalam tempoh empat tahun itu menyebabkan penumpang terkandas di Frankfurt, Perancis dan Britain.

    Jurucakap pengendali lapangan terbang Frankfurt, Fraport berkata, kira-kira 330 penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 5 petang waktu tempatan terpaksa dibatalkan selepas salji tebal.

    Lapangan terbang itu adalah hub dan ibu pejabat syarikat penerbangan Lufthansa yang dijadualkan mengendalikan sejumlah 1,260 penerbangan sehari.

    Di Britain, Lapangan Terbang Birmingham yang kedua terbesar terpaksa menggantung semua penerbangan di sebelah pagi untuk memberi laluan pekerja membersihkan landasan dalam keadaan salji tebal.

    Lapangan terbang itu pada kebiasaannya mengendalikan 200 penerbangan dan kira-kira 30,000 penumpang setiap hari.

    Lapangan Terbang Luton di London terpaksa menutup landasannya selama dua jam sebelum membuka semula pada 11.30 pagi waktu tempatan untuk memberi laluan kepada pesawat.

    Sementara itu, di Perancis, kira-kira 300 penumpang feri berdepan detik cemas apabila angin kencang menyebabkan feri itu terdampar menjejaskan perjalanan mereka dari laluan pelabuhan paling sibuk di Calais, Perancis.

    Tiada kecederaan dilaporkan. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Salji Paling Buruk Di Eropah "