• Saham Apple Jatuh iPhone X Kurang Permintaan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+

    BEIJING/SAN FRANCISCO: Saham Apple Inc dan beberapa pembekal komponennya di Asia jatuh semalam selepas laporan Daily Economic Taiwan dan penganalisis menjangkakan permintaan iPhone X di bawah jangkaan pada suku pertama tahun depan.

    Apple menurunkan unjuran jualan bagi iPhone X pada suku pertama kepada 30 juta unit, berbanding ramalan awal 50 juta unit, lapor akhbar itu semalam, memetik sumber yang tidak diketahui.

    Apple tidak mendedahkan sasaran jualan suku tahunan bagi iPhone X, yang mula dijual pada November lalu dengan harga AS$999 (RM4,077) di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, jurucakap Apple berkata, syarikat itu tidak memberi sebarang komen mengenai khabar angin berkenaan.

    Saham Apple melonjak 45 peratus tahun ini sebelum pelancaran iPhone X kerana pelabur menjangkakan minat daripada pengguna iPhone terhadap peranti baharu itu.

    Bagaimanapun, penganalisis kewangan mempunyai pandangan bercampur-campur sama ada wujud permintaan untuk peranti premium itu, yang menampilkan teknologi pengenalan wajah dan teknologi untuk mengaktifkan peranti.

    Saham Apple menyusut sejak pelancaran iPhone X. Ia jatuh 2.5 peratus kepada AS$170.57 semalam.

    Ketika lawatan ke China bulan ini, Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata beliau tidak gembira dengan permintaan bagi iPhone X di negara itu.

    Syarikat itu turut menyifatkan pra-tempahan bagi iPhone X tidak menepati ramalan.

    Sementara itu, JL Warren Capital yang berpangkalan di AS menjangkakan Apple akan mengeluarkan 25 juta unit iPhone X berikutan pengguna mogok susulan harga tinggi dan kekurangan inovasi yang menarik.

    Loop Capital yang berpusat di Chicago pula menganggarkan 40 juta hingga 45 juta unit penghantaran pada suku pertama.

    Pembekal Apple mengalami kerugian terbesar dalam saham mereka termasuk Genius Electronic Optical Co Ltd yang turun 2.4 peratus semalam untuk mencatat kerugian minggu ini kepada 11.4 peratus. Pegatron Corp turun 3.2 peratus minggu ini.

    Foxconn, satu daripada pembekal utama Apple dikenali sebagai Hon Hai Precision Industry Co Ltd, hilang 1.8 peratus minggu ini. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Saham Apple Jatuh iPhone X Kurang Permintaan "