• Rumah Sampah Tiga Tan Dibersihkan

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    SEREMBAN: Lebih tiga tan sampah termasuk barangan terpakai di rumah kediaman dua beranak orang kelainan upaya (OKU), di jalan Han Hui Foong di sini Selasa, dikutip dan dibuang dalam satu program gotong-royong melibatkan pelbagai agensi.

    Pengarah Bomba Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata sampah sarap tersebut merupakan sisa makanan dan juga barangan terpakai dikumpulkan Au Yang Kar Yan, 31, yang merupakan seorang OKU lembam.

    Beliau berkata wanita OKU ini yang tinggal bersama ayahnya Au Yang Sui Hong, 76, yang juga merupakan OKU cacat penglihatan sejak 10 tahun lalu, menyebabkan sampah di dalam rumah tidak dapat dibuang dengan baik.

    "Hari ini, pada 9 pagi, kami jalankan gotong-royong untuk membersihkan rumah jenis kayu yang didiami dua beranak ini sejak 10 tahun lalu, kerana dikhuatiri timbunan sampah di dalam rumah mereka ini mempunyai risiko yang tinggi untuk terbakar.

    "Jadi seramai 50 anggota pelbagai agensi antaranya anggota bomba, Pasukan Bomba Sukarela, Majlis Perbandaran Seremban, Tenaga Nasional Berhad, SWM Environment Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan rumah dua beranak ini.

    "Antara barangan yang dikutip selain sisa makanan adalah buku lama, tin, baju terpakai, surat khabar lama serta kotak-kotak kosong," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

    Turut hadir Penolong Pengarah Operasi Pegawai Kanan Bomba Ahmad Mukhlis Mokhtar, Ketua Balai Bomba Seremban Mohammad Idris dan Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Dewan Undangan Negeri Temiang Titan Ho Kok Yew.

    Norazam berkata selain membersihkan rumah dua beranak itu, pihaknya turut melakukan pembersihan di sepanjang Jalan Han Hui Foong.

    Beliau berkata mengenai nasib dua beranak itu, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pihak yang berkenaan bagi membolehkan mereka ditempatkan di pusat penjagaan yang sesuai.

    Sementara itu, Titan berkata usaha ini merupakan sebahagian tanggungjawab Pasukan Bomba Sukarela untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam mencegah kebakaran.

    "Kalau lihat keadaan dalam rumah dengan barangan terpakai yang banyak, risiko untuk terbakar itu tinggi dan sekiranya kebakaran berlaku, api akan merebak dengan cepat kerana rumah-rumah di sekitar kawasan ini jenis kayu dan dibina agak rapat,” katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rumah Sampah Tiga Tan Dibersihkan "