• Ronaldo ledak dua gol bantu Real belasah Sevilla

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    MADRID: Cristiano Ronaldo meraikan kejayaan merangkul anugerah Ballon d'Or buat kali kelima dengan meledak dua gol buat kali pertama dalam saingan Liga Sepanyol musim ini bagi membantu Real Madrid menewaskan Sevilla 5-0, awal pagi tadi.

    Kemenangan itu membolehkan Real merapatkan jurang kepada lima mata dengan pendahulu liga, Barcelona.

    Real berdepan krisis di bahagian pertahanan dengan Raphael Varane, kapten, Sergio Ramos, Dani Carvajal dan pemain tengah berrtahan, Casemiro tidak dapat diturunkan.

    Namun, jurulatih Real, Zinedine Zidane mempamerkan corak permainan menyerang menakjubkan apabila menjaringkan semua gol sebelum waktu rehat.

    Nacho Fernandez membuka tirai jaringan buat Real seawal minit ketiga sebelum Ronaldo meledak gol kedua pada minit ke-23.

    Dia yang mengetui perarakan di Santiago Bernabue bagi berkongsi kejayaan dengan penyokong Real atas anugerah Ballon d'Or diterimanya sebelum sepak mula perlawanan menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti minit ke-31.

    Dua lagi gol Real dijaringkan oleh Toni Kroos minit ke-38 dan pemain muda berusia 18 tahun, Achraf Hakimi tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama.

    Jurulatih Real, Zidane, berkata dia gembira dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya terutama selepas seri tanpa jaringan dengan Athletic Bilbao, minggu lalu.

    "Ia hari yang hebat buat kami kerana kami menang dan menjaringkan banyak gol. Ia perlawanan yang lengkap untuk kami dan ia memberi makna yang besar untuk saya.

    "Prestasi kami meningkat dalam setiap perlawanan dan kami bermain lebih baik. Apabila kamu bermain dengan lebih baik, kamu akan mencipta banyak peluang..kami mencipta banyak peluang hari ini dan menjaringkan lima gol buat kali pertama musim ini," kata Zidane.

    Real ketika ini menghuni tangga ketiga liga dengan 31 mata, tiga mata di belakang Villareal yang berada di kedudukan kedua dan lima mata ketinggalan di belakang Barcelona selaku pendahulu. - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Ronaldo ledak dua gol bantu Real belasah Sevilla "