• RM 50 Juta Kos Rawatan Antiretroviral

    Published: Sunday, 3 December 2017
    A- A+

    TANAH MERAH - Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM50 juta setahun bagi membiayai kos rawatan antiretroviral (ARV) untuk penghidap HIV secara percuma.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, setakat ini sebanyak 30 peratus daripada 90,000 penghidap HIV di negara ini telah menerima rawatan tersebut.

    “Tujuan kita adalah untuk mencapai sasaran sifar kes HIV/AIDS menjelang 2030. Untuk itu kita meningkatkan saringan bagi mengenalpasti mereka yang menghidap HIV, meningkatkan rawatan serta mengurangkan penularan risiko penyakit ini kepada yang lain.

    “Ini dibuat melalui Kementerian Kesihatan dan agensi di bawahnya dengan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO). Kita berharap sasaran berkenaan dapat dicapai melalui peningkatan kesedaran daripada orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Klinik Kesihatan Kemahang di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir ; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.

    Pada majlis itu, beliau turut merasmian Kabin Program Pertukaran Jarum Suntikan (NSEP) Model Klinik Kesihatan dan Unit Dialisis Komuniti Klinik Kesihatan Kemahang.

    Dalam pada itu, Subramaniam berkata, program NSEP adalah langkah pencegahan untuk mengurangkan jangkitan dan penularan HIV/Aids di kalangan penagih dadah.

    “Program NSEP ini bukan untuk menggalakkan mereka menjadi penagih dadah tetapi untuk mengurangkan risiko.

    “Untuk program NSEP ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.5 juta setahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " RM 50 Juta Kos Rawatan Antiretroviral "