• Richard Riot intai penggal ketujuh

    Published: Sunday, 17 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem, yakin akan dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk penggal ketujuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Richard yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata beliau tidak melihat wujudkan alasan kuat untuk mendorong beliau digugurkan sebagai calon BN di kerusi itu.

    "Setahu saya, tidak ada sebab langsung bagi saya tidak dapat menjadi calon (Parlimen Serian) lagi kerana selama ini saya sudah menunjukkan prestasi (baik). Kamu (wartawan) boleh mengesahkan ini di kawasan saya ataupun daripada sesiapa sahaja yang ada di pekan (Serian).

    "Saya sudah menjadi Ahli Parlimen Serian sejak 1990 dan mempunyai keyakinan tinggi mampu mengekalkan kerusi Parlimen Serian, lebih-lebih lagi kawasan berkenaan mempunyai majoriti pengundi masyarakat Bidayuh," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2017, di sini hari ini.

    Richard yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata demikian selepas diminta mengulas spekulasi beliau akan digantikan dengan calon baharu selepas enam penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

    "Tidak ada masalah rungutan di kawasan saya, kerana Serian selama ini telah kukuh. Saya sentiasa berada di kawasan bagi menghadiri majlis diadakan penduduk di sana, kecualilah saya mempunyai tugas rasmi di Kuala Lumpur atau di luar negara. Tetapi, setiap hujung minggu akan pulang melawat kawasan," katanya.

    Pada PRU-13, Richard meraih 19,494 undi menewaskan Edward Andrew Luwak dari DAP yang mendapat 6,343 undi, dan Johnny Aput dari Parti Reformasi Negeri (STAR) yang sekadar meraih 390 undi.

    Richard meletakkan keyakinan tinggi untuk dipilih semula selepas mengambil kira beliau menjadi calon tunggal SUPP yang menang pada PRU-13 di Sarawak, manakala enam calon lain daripada parti sama, kesemua mereka tewas di kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.-BHOnline



  • No Comment to " Richard Riot intai penggal ketujuh "