• Revolusi Industri 4.0: Lebih Ramai Wanita Bekerja

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Revolusi Industri 4.0 berkemungkinan besar menyaksikan lebih ramai wanita diambil bekerja memandangkan persaingan dalam pasaran tenaga kerja pada masa depan lebih kepada keperluan terhadap minda berbanding kekuatan fizikal.

    Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura, Josephine Teo Li Min berkata, ini berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan kebanyakan kerja-kerja manual yang memerlukan tenaga fizikal perlahan-lahan beralih kepada automasi, seiring perkembangan teknologi.

    “Jika kita bersaing dari segi minda dan bukan tenaga fizikal, wanita tidak mempunyai kekurangan,” katanya semasa sidang pleno Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik Kuala Lumpur (WIPKL) 2017, di sini hari ini.

    WIPKL itu dianjurkan bersempena Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok sehingga Sabtu ini.

    Teo berkata sekalipun kemajuan kecerdasan buatan dan robotik akan mempercepatkan proses automasi di tempat kerja, beliau percaya situasi itu tidak begitu menjejaskan peluang pekerjaan.

    Beliau juga berkata kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan secara meluas pada masa depan mungkin terlalu dibesar-besarkan memandangkan kajian Pusat Penyelidikan Ekonomi Eropah mendapati bilangan pekerjaan yang berisiko susulan automasi adalah rendah sekitar sembilan peratus sahaja.

    “Dari segi sejarah, bila kita lihat semula kesan teknologi kepada dunia pekerjaan, penggantian kerja yang dipacu teknologi turut diiringi dengan penghasilan pekerjaan dalam sektor baharu yang juga penting.

    “Isunya ialah sama ada anda dapat mencari bakat berpotensi dan melengkapi mereka dengan kemahiran yang tepat untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang dihasilkan itu,” katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Revolusi Industri 4.0: Lebih Ramai Wanita Bekerja "