• Resolusi EU Jejaskan 650,000 Pekebun Kecil Sawit - MPOB

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    JASIN: Resolusi Kesatuan Eropah (EU) terhadap larangan mengimport minyak sawit dari Malaysia dilihat menjejaskan masa depan kira-kira 650,000 pekebun kecil industri berkenaan selain memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

    Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata ini kerana Malaysia adalah pengeluar minyak sawit terbesar di dunia dengan EU adalah pasaran eksport kedua terbesar negara, yang menyumbang pendapatan eksport tertinggi.

    "Resolusi berkenaan akan memberi kesan yang besar terhadap Malaysia, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah terhadap pendapatan pekebun kecil kelapa sawit yang bergantung kepada penjualan hasil eksport berkenaan.

    "Cadangan berkenaan juga secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti negara sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia yang mempunyai pasaran yang luas," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ceria Kembali ke Sekolah anjuran Felcra Berhad di sini, hari ini.

    Pada majlis tersebut, Felcra Berhad menyampaikan set keperluan persekolahan bernilai RM250 kepada 300 pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah di Parlimen Jasin yang turut dihadiri Pengurus Besar Wilayah Tengah Felcra Berhad Ahmad Salleh.

    Ahmad berkata, kerajaan akan terus berbincang dengan wakil EU bagi menghentikan resolusi berkenaan daripada diluluskan di peringkat Parlimen Eropah.

    Menurut beliau, pada dasarnya wakil Malaysia yang menyertai rundingan berkenaan berjaya membuktikan minyak sawit keluaran negara adalah berkualiti tinggi terutama dari segi kesihatan.

    Beliau berkata wakil EU juga digesa untuk membuat siasatan lanjut tentang kualiti minyak sawit negara dan bukannya mendengar dakwaan pihak tertentu yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan berkenaan.

    Dalam pada itu, Ahmad berkata, semua pekebun kecil sawit diingatkan segera mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai salah satu langkah terbaharu kerajaan untuk menaik taraf industri berkenaan di peringkat global.

    Beliau berkata, sijil berkenaan juga penting dalam usaha kerajaan untuk mengembangkan pasaran eksport minyak sawit ke negara lain selain mengekalkan pasaran sedia ada.

    "Pemilikan sijil MSPO ini adalah satu dasar mandatori yang perlu ada pada setiap pekebun kecil sawit menjelang 2020 kerana sijil tersebut sebahagian daripada kehendak pasaran selain membuktikan keupayaan kita mengeluarkan minyak sawit yang benar-benar berkualiti," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Resolusi EU Jejaskan 650,000 Pekebun Kecil Sawit - MPOB "