• Rentung Dalam Sauna

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    SEOUL: Sekurang-kurangnya 29 orang maut dan 26 lagi cedera dalam kebakaran sebuah bangunan lapan tingkat yang menempatkan pusat kecergasan dan sauna di bandar Jecheon semalam, kata pegawai.

    Kebakaran bermula pada jam 4 petang (waktu tempatan) di tempat letak kereta di tingkat satu sebelum merebak ke seluruh bangunan, menyebabkan ramai terperangkap.

    “Seramai 20 mangsa ditemui di ruangan sauna dan selebihnya di kawasan lain di bangunan itu,” kata jurucakap bomba.

    Rakaman televisyen menunjukkan bangunan hampir musnah dijilat api dengan asap hitam berkepul-kepul naik ke udara.

    Beberapa orang dipercayai waris mangsa yang terperangkap dilihat menangis menunggu berita mengenai ahli keluarga mereka daripada bomba.

    Jurucakap bomba memberitahu, jumlah mangsa yang terkorban mungkin meningkat apabila anggota bomba memeriksa keseluruhan bangunan.

    “Api cepat menghasilkan asap bertoksik yang tebal menyebabkan ramai mangsa gagal menyelamatkan diri,” kata jurucakap itu.

    Jecheon antara lokasi pelancongan popular di Korea Selatan yang terletak kira-kira 120 kilometer dari tenggara Seoul.

    Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In melahirkan rasa kekesalan dengan tragedi itu dan menggesa pegawai meningkatkan usaha mencari mangsa yang hilang.

    Dia juga mahu siasatan terperinci bagi mencari punca kebakaran itu dilakukan.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Rentung Dalam Sauna "