• Real Madrid Mahu Salah - Cuper

    Published: Sunday, 3 December 2017
    A- A+

    LONDON - Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah menjadi sasaran penyandang juara Eropah dan La Liga, Real Madrid, dakwa Ketua Jurulatih Mesir, Hector Cuper.

    Salah, 25, menunjukkan prestasi mengagumkan sejak menyertai Liverpool dari kelab Itali, AS Roma musim ini dengan meledak 17 gol dalam semua pertandingan.

    Penyerang antarabangsa Mesir itu muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris ketika ini dengan 12 gol, malah menjadi watak penting ketika membawa negaranya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

    Cuper mendedahkan, pengurus Real, Zinedine Zidane berminat untuk membawa pemain itu keluar dari Anfield.

    “Saya menerima maklumat yang sahih bahawa Real Madrid berminat dengan Salah, tetapi jangan terburu-buru dalam perkara ini.

    “Bagi saya, situasi Salah ketika ini sangat luar biasa,” kata Cuper kepada saluran televisyen sukan Mesir, On Sports TV semalam.

    Salah bakal mengetuai cabaran Mesir dalam Piala Dunia tahun depan, yang mana mereka diundi dalam Kumpulan A bersama Rusia, Arab Saudi serta Uruguay. - AGENSI

    Subjects:

  • No Comment to " Real Madrid Mahu Salah - Cuper "