• RCI langkah paling tepat rungkai isu Felda

    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+
    PASIR MAS 29 Dis. - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) merupakan langkah yang paling tepat boleh diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu melibatkan Felda terutama kes kehilangan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

    Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, keputusan yang diperoleh melalui RCI tidak boleh dipertikai mana-mana pihak kerana ia dijalankan secara telus sehingga ke peringkat akar umbi.

    Menurutnya, RCI juga dapat mengelakkan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa dalam isu berkenaan.

    “Jadi saya amat bersetuju RCI ini, bukan sahaja isu tanah yang hilang, tetapi ia turut merangkumi perkara-perkara lain seperti pembelian hotel di London, di Sarawak dan pembelian syarikat di Indonesia. Pengurusan terdahulu mengatakan dia difitnah dan menjadi mangsa konspirasi serta menjadi kambing hitam oleh pihak tertentu. Kepimpinan baharu (Tan Sri Abdul Shahrir Abdul Samad) pula sudah mengeluarkan pelbagai kenyataan.

    “Bagi saya RCI adalah langkah yang amat tepat untuk merungkai kes ini,” katanya kepada pemberita pada program turun padang bertemu dengan masyarakat di kawasan Parlimen Pasir Mas di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " RCI langkah paling tepat rungkai isu Felda "