• Rayuan Dr. Mahathir Ditolak

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak rayuan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi menggugurkan dua ahli panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an.

    Kedua-dua ahli panel itu ialah Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon.

    Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil. Dr. Mahathir turut diperintahkan membayar kos RM10,000.

    Bekas Perdana Menteri itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos lalu yang menolak permohonannya selepas membenarkan bantahan awal Kerajaan Malaysia.

    Pada 9 Ogos lalu, Dr. Mahathir memfailkan kebenaran semakan kehakiman bagi mendapat perintah untuk melucutkan hak kelayakan Mohd. Sidek dan Choo Boon daripada menjadi ahli panel untuk keseluruhan prosiding itu.

    Beliau memohon kebenaran mengetepikan keputusan suruhanjaya pada 8 Ogos lalu yang menolak permohonannya agar dua daripada lima anggota suruhanjaya itu, disingkirkan.

    Beliau menamakan Mohd. Sidek, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Choo Boon; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan; ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Puspanathan; Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Rayuan Dr. Mahathir Ditolak "