• Ranking Rasuah Malaysia Perlu Diperbaiki -TPM

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kedudukan negara di tangga ke-55 mengikut ukuran skor rasuah oleh Transparency International (TI) perlu dipandang serius dan ditangani bagi memastikan Malaysia berada pada tempat yang lebih baik.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sendiri memperakui kedudukan itu bukan sesuatu yang menyenangkan kerana boleh memberi persepsi yang tidak baik terhadap Malaysia, dan sehubungan itu menyeru setiap lapisan masyarakat menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gigih membanteras rasuah.

    Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah kepada SPRM yang bersungguh-sungguh menjayakan kempen membanteras rasuah menerusi pengenalan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang harus disokong oleh setiap agensi dan jabatan kerajaan, korporat, individu serta rakyat.

    “Kajian yang dilakukan mendapati kita di tangga ke-55 dan itu bukan sesuatu yang baik kerana boleh menyebabkan persepsi mengenai amalan integriti dipandang rendah.

    “Kerajaan sendiri pun mengambil berat perkara ini dan mahu kedudukan Malaysia diperbaiki dan diturunkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian 
Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi Baharu yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar merangkap Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara (BPLN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Ahmad Zahid pada masa sama berkata, usaha menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu mendapat kerjasama semua pihak dan kerajaan akan menangani gejala buruk itu tanpa mengira latar belakang politik termasuk daripada parti kerajaan atau pembangkang.-UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Ranking Rasuah Malaysia Perlu Diperbaiki -TPM "