• Rampas 5,000kg mercun

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) merampas lebih 5,000 kilogram (kg) mercun pelbagai jenis dianggar bernilai RM180,000.

    Mercun itu dirampas dari sebuah lori lima tan yang ditinggalkan di ladang kelapa sawit Jeram Pasu, Pasir Puteh, jam 7.30 malam tadi.

    Komander AKSEM Kelantan, Mohd Asri Yahya, berkata enam anggotanya melakukan rondaan dan intipan sebelum menemui lori tanpa pemandu.

    "Pemeriksaan membawa kepada penemuan 180 kotak berisi mercun dan bunga api pelbagai jenis disyaki diseludup dari Thailand bagi pasaran musim perayaan.

    "Kita percaya ia diseludup menerusi Bukit Lata, Rantau Panjang untuk pasaran di Lembah Klang," katanya pada sidang media di pejabat AKSEM di sini, hari ini.

    Mohd Asri berkata, semua barang rampasan itu adalah barang larangan import di bawah Butiran 46, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan memerlukan lesen import Akta Bahan Letupan 1957 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Beliau tidak menolak penyeludupan dilakukan ketika banjir baru-baru ini dan bahan terbabit disimpan dalam stor sedikit demi sedikit.

    "Sebaik kuantitinya cukup dan memenuhi permintaan, ia diangkut menaiki lori untuk dipasarkan.

    "Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

    "Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rampas 5,000kg mercun "