• Rakyat Malaysia Perlu Bersedia Untuk Persaraan

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Jumlah rakyat Malaysia yang benar-benar mengambil langkah persediaan dari segi kewangan untuk kehidupan selepas persaraan secara relatifnya rendah, walaupun kesedaran mengenainya semakin meningkat, kata Ketua Pegawai Jenama Prudential Assurance Malaysia Bhd, Fiona Liao.

    Menurut edisi kedua Indeks Perhubungan Prudential (PRI 2017), sebanyak 59 peratus rakyat Malaysia bimbang sama ada mereka mempunyai dana yang cukup selepas persaraan manakala 49 peratus daripada mereka tidak yakin mereka akan mempunyai wang yang cukup untuk hidup sehingga berusia 80 tahun.

    “Kesedaran itu semakin meningkat …tetapi rakyat Malaysia masih bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), walaupun pun tabung pencen itu baru-baru ini menyatakan yang pekerja perlu menambah simpanan mereka dan tidak boleh semata-mata bergantung kepada simpanan KWSP.

    “Mereka perlu melihat kepada pelbagai platfrom atau penyelesaian kewangan dan insurans adalah satu daripadanya, tetapi insurans boleh menawarkan pelbagai penyelesaian kepada mereka.

    “Ia boleh menawarkan perlindungan, pelaburan, simpanan dan persaraan dan boleh juga menjadi simpanan persaraan,” katanya selepas melancarkan PRI 2017 di sini, hari ini.

    Liao juga menekankan yang semua pihak, termasuk industri kewangan, syarikat insurans atau agensi, skim persaraan swasta serta Bank Pusat perlu meningkatkan usaha untuk menggalak orang ramai menambah simpanan mereka.

    “Kesedaran itu sudah pun wujud, bertindak ke atasnya adalah sangat penting,” katanya.

    Kajian itu yang dijalankan di Malaysia, Kemboja, Vietnam, Filipina, Indonesia, Thailand, Singapura, Hong Kong dan China, bertujuan memahami keadaan hubungan peribadi di Asia.

    Di negara ini, sebanyak 516 temubual dijalankan melalui persampelan dalam talian dengan sampel wakil orang dewasa yang tinggal di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Responden terlibat mewakili kira-kira dua pertiga daripada pendapatan isi rumah di Malaysia.

    PRI 2017 juga menunjukkan simpanan untuk persaraan, iaitu keutamaan kewangan terpenting untuk sebahagian besar rakyat Malaysia, berada pada 61 peratus, iaitu kadar tertinggi di sembilan pasaran negara yang dikaji. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Perlu Bersedia Untuk Persaraan "