• Rakyat Malaysia Cuba Seludup Keluar Senjata Api Ditahan

    Published: Sunday, 24 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Malaysia dipercayai anggota kumpulan militan Daesh ditahan pihak berkuasa Pakistan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan, semalam selepas dipercayai menyeludup keluar senjata api.

    Sebuah portal Pakistan The Express Tribune melaporkan, suspek bakal menaiki pesawat Thai Airways TG 342 penerbangan ke Bangkok, Thailand, sebelum ditahan di lapangan terbang berkenaan.

    Suspek yang berusia 20 tahun berasal dari Sarawak, dilaporkan cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak berserta 70 butir peluru yang disembunyikan dalam bagasi dan tapak kasutnya.

    Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke balai polis lapangan terbang berkenaan untuk disiasat oleh pihak berkuasa dan badan perisikan Pakistan.

    Berdasarkan maklumat awal kes itu masih dalam siasatan termasuk mengenalpasti motif sebenar senjata berkenaan cuba diseludup keluar dari Pakistan.

    Dia juga disoalsiasat sama ada terbabit dengan rangkaian kumpulan Daesh.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan lelaki itu semalam selepas dimaklumkan pihak berkuasa Pakistan.

    "Berdasarkan maklumat awal, kami sahkan yang seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Pakistan.

    "Pihak polis akan berhubung dengan pihak berkuasa di Pakistan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Cuba Seludup Keluar Senjata Api Ditahan "