• Rakyat Malaysia Berminat Membeli Online

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    Trend membeli belah secara online bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Ramai rakyat Malaysia memilih untuk membeli-belah secara online antaranya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa dan menjimatkan minyak.

    Hanya dengan menekan butang ‘order’ dan membuat pembayaran melalui online, barang yang dibeli akan dihantar kepada pembeli dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu mengikut negeri atau negara pembelian barang.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel berkata, trend membeli-belah secara online ini sebenarnya sudah menjadi satu amalan rakyat Malaysia.

    Katanya, ada antara rakyat Malaysia yang membeli barang keperluan dapur bulanan secara atas talian.

    “Misalnya, ramai masyarakat di negara ini membeli keperluan dapur bulanan secara online. Misalnya, di Lazada sendiri, kami berfungsi seperti pasar raya kepada pelanggan.

    “Walaupun tiada kedai fizikal, pelanggan masih mahu membelinya disebabkan kualiti yang tinggi, harga yang murah dan perkhidmatan yang cekap dalam setiap pembelian,” katanya.

    Beliau menjangka pada tahun 2018 akan ada lebih 2 juta pelanggan baru akan berbelanja secara online. Oleh itu, akan meningkat 30 peratus kekerapan membeli-belah online secara bulanan.

    Ketua Pegawai Komersial Pos Malaysia, Nor Azizan Tarja@Tarjo memaklumkan barang keperluan rumah seperti tilam pun ada dibeli secara online.

    “Keadaan ini menyebabkan Pos Malaysia perlu mengambil pelbagai inisiatif seperti menyewa penerbangan kapal kargo tambahan ke Sabah dan Sarawak serta mewujudkan lebih banyak kaunter pandu laju.

    “Kini, tilam pun pelanggan akan membelinya secara online,” katanya.

    Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa melaporkan, ramai rakyat Malaysia yang membeli-belah atas talian. Peningkatan sembilan peratus berbanding tahun lalu dengan 76 peratus. Rakyat Malaysia memaklumkan mereka membeli belah online sebulan sekali.

    Apapun, sebagai pengguna memang membeli-belah secara online ini lebih mudah dan jimat. Tetapi, pengguna juga diminta untuk berhati-hati kerana mereka juga terdedah kepada isu-isu penipuan.

    Pengguna perlu lebih bijak melayari laman web sesawang yang dipercayai dan dikenali untuk mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan online. –utaranews

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Berminat Membeli Online "