• Raja Maghribi, Presiden Palestin Bincang Isu Kedutaan Israel

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+


    RABAT -- Raja Maghribi, Mohammed VI dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengadakan perbincangan menerusi telefon pada Selasa berhubung hasrat Amerika Syarikat, untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis, lapor agensi berita Xinhua.

    Raja Mohammed VI merangkap pengerusi Jawatankuasa Al Quds Pertubuhan Kerjasama Islam, mengulangi "sokongan teguh dan padu terhadap rakyat Palestin dalam mempertahankan hak mereka yang adil dan sah, terutamanya mengenai status Baitulmaqdis."

    Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Diraja, baginda turut "menolak apa jua tindakan yang boleh menjejaskan aspek berbilang agama di bandar suci itu atau apa sahaja langkah untuk mengubah status undang-undang dan politiknya."

    Presiden Palestin, memuji peranan dan tindakan Raja Maghrib serta menyangkal agenda pentadbiran AS yang disifatkan sebagai "inisiatif yang tidak sesuai".

    Kedua-dua pemimpin turut bersetuju, mengekalkan hubungan langsung dan rundingan berterusan mengenai isu tersebut, di samping menyelaraskan langkah dan tindakan yang akan dilaksanakan, tambah kenyataan itu.

    Raja Maghribi memberi peringatan kepada Presiden AS Donald Trump, bahawa status Baitulmaqdis "perlu dipelihara dan tiada apa pun harus dilakukan yang mungkin mempengaruhi status itu."

    Jelas baginda, Baitulmaqdis bukan sahaja penting bagi pihak yang bertelagah, tetapi juga kepada pengikut tiga agama, jadi bandar itu perlu kekal sebagai simbol kebersamaan dan toleransi.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Raja Maghribi, Presiden Palestin Bincang Isu Kedutaan Israel "