• Pusat Jagaan Orang Tua Tiada Permit - MPKJ

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KAJANG: Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) mengesahkan rumah banglo dua tingkat yang menjadi pusat jagaan orang tua di Sungai Long, Kajang, yang terbakar, hari ini, tidak memiliki permit.

    Kaunselor MPKJ, Lai Wa Cheong berkata, semakan rekod pihaknya mendapati pemilik pusat jagaan terbabit tidak pernah memohon permit untuk menjalankan operasi jagaan berkenaan.

    "Sebuah pusat jagaan orang tua swasta memerlukan permit untuk beroperasi. Bagaimanapun, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada pemilik pusat jagaan terbabit.

    "Setakat ini, kami masih menunggu rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada pemilik pusat jagaan itu ada merujuk perkara terbabit kepada JKM," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, berdasarkan maklumat awal, pemilik pusat jagaan itu dipercayai warga Pakistan.

    "Kami sedang menyiasat sama ada premis ini diberi kebenaran untuk beroperasi daripada JKM atau pihak berkuasa tempatan.

    "Selain itu, jabatan siasatan forensik polis dan bomba masih menyiasat punca kejadian yang bermula dari tingkat bawah rumah banglo dua tingkat berkenaan.

    "Berdasarkan maklumat awal diperolehi kami mendapati pusat jagaan itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan disewa dengan harga RM6,000 sebulan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pusat Jagaan Orang Tua Tiada Permit - MPKJ "