• PRU14: Calon Langsung BN Di Sarawak Hanya Cakap-Cakap Kedai Kopi

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian menyifatkan kemungkinan Barisan Nasional (BN) menurunkan calon langsung pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ibarat cakap-cakap kedai kopi.

    Di bawah dasar BN menurutnya, hanya calon daripada parti komponen BN akan bertanding menggunakan tiket BN pada mana-mana pilihan raya.

    "Ia (calon langsung BN) mesti mendapat persetujuan Majlis Tertinggi BN," katanya seperti yang dilaporkan The Borneo Post.

    Sebelum ini SUPP mengeluarkan kenyataan mengenai parti tersebut menerima jaminan daripada BN peringkat kebangsaan yang mana parti itu akan bertanding di semua tujuh kerusi tradisi pada pilihan raya umum akan datang.

    Kerusi tersebut termasuk Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

    Kenyataan tersebut bagaimanapun menerima respons daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang berkata di bawah formula calon langsung BN, UPP akan menyumbang 72 peratus kejayaan pada sesuatu kerusi yang ditandingi.

    UPP yang merupakan parti mesra BN dilaporkan mengemukakan senarai calon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pilihan raya umum akan datang.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: Calon Langsung BN Di Sarawak Hanya Cakap-Cakap Kedai Kopi "