• Projek Hakisan Pantai Di Miri Dilaksana Jun 2018

    Published: Sunday, 31 December 2017
    A- A+

    MIRI – Kerajaan persekutuan meluluskan projek pengawalan hakisan pantai Kampung Batu 1, Kuala Baram bernilai RM25 juta dengan pelaksanaannya dijangka siap pada 2021.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tender untuk projek tersebut akan dibuka pada Mac 2018 dan pelaksanaan projek disasarkan pada Jun 2018.

    Beliau berkata konsep reka bentuk projek tersebut yang pertama seumpamanya di Sarawak, menyerupai projek sama di Terengganu dan setelah siap selain daripada mengawal hakisan ia juga mampu menjadi ikon pelancongan negeri.

    “Projek ini sudah dilaksanakan di Semenanjung dan didapati berkesan mengawal hakisan serta menahan ombak besar kerana ada pembinaan benteng,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pasar Nelayan Kampung Batu 1 di sini pagi ini.

    Untuk rekod, perkampungan nelayan Kampung Batu 1, Kuala Baram adalah antara kawasan paling teruk dilanda banjir pada 20 Dis lalu akibat air pasang tinggi serta hujan lebat berterusan semalaman.

    Bagi mengelakkan bot-bot mereka dihanyut ke laut, nelayan terpaksa mengalihkannya ke tepi jalan raya Kuala Baram dan gambar bot nelayan di tepi jalan raya menjadi tular dalam media sosial.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dr Wan Junaidi berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diarahkan untuk membuat kajian terperinci mengenai punca dan kaedah menangani banjir di kawasan bandar serta luar bandar di Miri dengan segera.

    Beliau berkata kerajaan persekutuan bersedia melaksana projek jangka pendek dan panjang seperti mendalamkan sungai di kawasan luar bandar di sini bagi mengurangkan risiko banjir.

    “Hujan lebat pada 13 Nov hingga 26 Dis di Miri menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung air hujan, di samping pada masa sama berlaku fenomena air pasang,” katanya lagi. – BERNAMA
  • No Comment to " Projek Hakisan Pantai Di Miri Dilaksana Jun 2018 "