• Produk kesihatan label palsu

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    LEBIH lima tahun beroperasi secara haram, akhirnya aktiviti kilang memproses produk kesihatan ditumpaskan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dalam serbuan di Pengkalan Chepa, bulan lalu.

    Serbuan menerusi Ops Ghost pada 4.40 petang, 20 November itu turut merampas 6,864 botol produk kesihatan dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, pihaknya menjalankan risikan sejak Januari lalu apabila menerima aduan mengenai penjualan produk kesihatan untuk merawat masalah diabetis, gangguan pankreas dan menurunkan paras gula, diragui.

    “Malah, produk jenis semburan dibotolkan saiz 60 mililiter itu dilabel dengan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), yang didapati palsu dan hanya untuk menarik perhatian pengguna.

    “Ia dijual dengan harga RM180 sebotol, menerusi Facebook dan medium sosial lain. Kita juga terima maklumat bahawa produk turut dipasarkan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur selain negeri ini dan bandar besar lain,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

    Susulan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 7(1) (a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984 iaitu kesalahan mengilang produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM25,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.

    “Ini juga rampasan terbesar bahagian farmasi dan kita memandang serius kegiatan pengilangan, pengedaran dan penjualan produk kesihatan khasnya ubat berdaftar, komestik tidak bernotifikasi dan ubat campuran palsu.

    “Pada 2015, 70 premis diserbu dengan 1,154 pelbagai barangan dirampas bernilai RM1.9 juta, manakala tahun lalu sebanyak RM1.35 juta rampasan," katanya.

    Dr Ahmad Razin turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang produk dikeluarkan tanpa kelulusan KKM yang berisiko tinggi kepada kesihatan.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Produk kesihatan label palsu "