• PPBM Tampil 30 Peratus Calon Anak Muda Dalam PRU14

    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menampilkan hampir 30% anak muda sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan berkata lebih separuh dari calon PPBM adalah muka-muka baru.

    Rekod PPBM menunjukkan kira-kira 57% daripada 200,000 ahli parti merupakan anak-anak muda.

    “Semua bukti menunjukkan pengundi gemarkan calon baru yang bersih dan akan mentadbir dengan integriti,” kata Syed Saddiq pada satu wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya baru-baru ini.

    “Walaupun orang itu bukanlah ketua Pemuda negeri atau ahli majlis eksekutif tetapi hanya ahli biasa Pemuda, mereka akan tetap diberikan peluang,” katanya memetik laporan The Malaysian Insight.

    Mengulas isu pembahagian kerusi sesama parti di dalam Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq memberitahu proses itu sedang berjalan dan melalui perbincangan di kalangan pemimpin-pemimpin gabungan itu.

    “Saya diberitahu yang perkembangannya (pembahagian kerusi) sangat baik berbanding pilihan raya sebelum ini, apabila perbincangan masih berjalan walaupun selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.

    Syed Saddiq dalam pada itu enggan mendedahkan sama ada beliau sendiri diminta pemimpin parti untuk bertanding.

    Sementara itu menyentuh manifesto PH, pendebat terbaik peringkat Asia itu memberitahu antara kandungannya adalah menjadikan agensi penguatkuasa, media dan universiti sebagai institusi bebas.

    Manifesto bersama itu akan dimuktamadkan pada Konvensyen Nasional PH bulan depan, katanya yang turut terlibat dalam pasukan merangka manifesto pembangkang itu.

    “Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sudah mengatakan yang pelajar akan diberikan kebebasan (untuk terlibat dalam politik) dan media tidak lagi akan dikongkong. Beliau mengatakan begitu dalam setiap ceramah.

    “Kami juga bersetuju untuk menghadkan penggal perdana menteri dan dia (PM) juga tidak akan menjadi menteri kewangan.”

    Tambahnya lagi selepas PH melancarkan manifesto anti-korupsi pada Oktober lalu untuk menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan peguam negara bebas sepenuhnya, perkara itu dilihat mendapat sokongan rakyat.

    Antara cadangan lain lagi adalah SPRM menjawab terus kepada Parlimen, memberikan kuasa pendakwaan dan mengalihkan bajet agensi pencegahan rasuah negara itu daripada diletakkan di bawah bajet Jabatan Perdana Menteri (PMO).

    Antara manifesto bersama PH adalah membebaskan agensi penguatkausa, media dan universiti daripada cengkaman eksekutif, kata Syed Saddiq.

    Antara manifesto bersama PH adalah membebaskan agensi penguatkausa, media dan universiti daripada cengkaman eksekutif.

    PH juga, menurut Syed Saddiq mahu menghadkan sumbangan penderma maksimum RM200,000 setiap tahun dan parti politik perlu menjalani proses audit setiap tahun.

    Ia juga berikrar untuk menghapuskan rundingan terus untuk semua kontrak pembekalan kerajaan. - AntaraPos

    Subjects:

  • No Comment to " PPBM Tampil 30 Peratus Calon Anak Muda Dalam PRU14 "