• Polis Tembak 2 Penjenayah

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Dua penjenayah bersenjatakan parang ditembak mati manakala seorang lagi rakannya melarikan diri ketika cubaan memecah masuk sebuah kediaman di Seksyen 7, di sini, awal pagi ini.

    Dalam kejadian jam 3.40 pagi, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan orang awam mengenai cubaan memecah masuk rumah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata ketika tiba di lokasi, polis terserempak dengan tiga suspek terbabit, yang kemudian cuba melawan polis dengan menggunakan parang.

    "Polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan dua suspek mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, pagi tadi.

    Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmad.

    Wan Ahmad Najmuddin berkata, pemeriksaan terhadap mayat suspek berusia 30-an itu mendapati ada sembilan celoret dan parang serta peralatan untuk pecah rumah.

    Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut, namun percaya suspek adalah anggota kumpulan Geng Rantau, yang giat menjalankan kegiatan samun.

    Beliau berkata, Geng Rantau dikesan dianggotai oleh warga asing, yang menyasarkan perumahan di sepanjang lebuh raya terutama di Seksyen 6, 7 dan 8 di Shah Alam.

    Katanya, sejak Januari lalu, sebanyak tujuh kes pecah rumah dilaporkan berlaku di kawasan terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah.

    Sementara itu, seorang penduduk, Datuk Amril Samsudin, 50-an, berkata beliau dikejutkan dengan bunyi tembakan sebelum mendapati kawasan berkenaan sudah dipenuhi anggota polis.

    "Penduduk di kawasan takut untuk keluar rumah pada waktu malam ekoran sering berlaku kejadian pecah rumah," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Tembak 2 Penjenayah "