• Polis KL pantau penjualan dadah zombi di pusat hiburan

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Polis Kontinjen Kuala Lumpur kini dalam usaha membanteras penjualan dadah dalam perisa minuman atau dikenali dadah zombi yang berleluasa dijual di pusat hiburan sekitar ibu negara.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, berdasarkan siasatan dan serbuan sebelum ini kebanyakkan dadah tersebut dibungkus dalam peket minuman bagi mengaburi mata pihak polis.

    Katanya, dadah jenis ketamin dan ekstasi yang dihancurkan menjadi serbuk dikesan dibungkus dalam peket minuman sebelum dijual.

    “Sindiket dadah berkenaan akan menjual peket minuman itu lebih mahal daripada harga biasa dan ia dipercayai dijual kepada pengunjung dalam pusat hiburan.

    “Berdasarkan serbuan yang dilakukan pihak polis sebelum ini kita dapati pengedaran pelbagai jenis dadah berlaku dalam pusat hiburan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Menurutnya lagi, pihak polis memberi amaran kepada pengusaha pusat hiburan di ibu negara agar tidak bersekongkol dengan pengedar dadah.

    Katanya, pihak polis akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan terhadap pusat hiburan yang didapati bersekongkol dengan pengedar dadah. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Polis KL pantau penjualan dadah zombi di pusat hiburan "