• PM Najib Adakan Lawatan Rasmi Ke Sri Lanka Dan Maldives Mulai Esok

    Published: Saturday, 16 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Sri Lanka mulai esok hingga 19 Dis dan Maldives mulai 19 hingga 20 Dis ini.

    Lawatan itu adalah atas undangan Presiden Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka Maithripala Sirisena dan Presiden Republik Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom, kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini, hari ini.

    "Lawatan kali ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri ke Sri Lanka dan Maldives," kata kenyataan itu.

    Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka.

    Dalam lawatan itu, Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

    Lawatan perdana menteri ke kedua-dua negara itu menggariskan kepentingan yang ditetapkan oleh Malaysia ke atas hubungan dua hala dengan Sri Lanka dan Maldives.

    "Lawatan itu juga akan menetapkan hala tuju hubungan dua hala Malaysia dengan kedua-dua negara itu, yang meliputi pelbagai bidang kerjasama," kata Kementerian Luar.

    Di Colombo, Sri Lanka, perdana menteri dijadual menghadiri upacara sambutan rasmi disusuli mesyuarat empat mata dan mesyuarat dua hala dengan delegasi kedua-dua negara.

    Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian antara kedua-dua negara dalam bidang latihan, sains dan teknologi, komunikasi dan bio-ekonomi.

    Presiden Sri Lanka akan meraikan Najib dan Rosmah dalam satu majlis makan tengah hari rasmi sebagai tanda penghormatan kepada mereka.

    Najib turut dijadual menghadiri mesyuarat meja bulat dengan ahli-ahli perniagaan Sri Lanka dan mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Sri Lanka.

    Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari sempena lawatan Najib pada hari berikutnya.

    Menurut kenyataan itu, satu pertemuan antara Ketua Menteri Provinsi Utara Sri Lanka dan Najib turut diatur.

    "Lawatan Najib ke Sri Lanka akan memberi peluang kepada kedua-dua negara membincangkan pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, kesihatan dan sumber manusia serta isu-isu kepentingan dalam kerjasama serantau dan antarabangsa," kata Kementerian Luar.

    Di Male Maldives pula, perdana menteri akan diberikan majlis sambutan negara diikuti oleh mesyuarat empat mata dan mesyuarat dua hala dengan delegasi dari kedua-dua negara.

    Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian beberapa MOU antara kedua-dua negara dalam bidang kesihatan, pelancongan, kebombaan dan penyelamatan serta pendidikan tinggi.

    Menurut Kementerian Luar satu sidang berita bersama akan diadakan sebelum majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Presiden Maldives sebagai tanda penghormatan kepada Najib dan isteri.

    Kedua-dua pemimpin itu dijadual mengadakan perbincangan mengenai pelbagai kerjasama yang meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, kesihatan serta isu-isu berkepentingan bersama dalam kerjasama serantau dan antarabangsa.

    Malaysia yakin lawatan Perdana Menteri ke Sri Lanka dan Maldives kali ini bakal meningkatkan kerjasama sedia ada, bukan sahaja dalam skop dua hala tetapi juga dalam isu serantau dan antarabangsa.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PM Najib Adakan Lawatan Rasmi Ke Sri Lanka Dan Maldives Mulai Esok "