• Platform Pasaran Produk Sarawak SPP Bakal Dilancar Januari 2018

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Platform bagi memasarkan produk negeri ini ke Semenanjung Malaysia, sebuah Pavilion Produk Sarawak(SPP) bakal dilancarkan pada Januari tahun hadapan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tun Abang Openg.

    Inisiatif berkenaan diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan yang berfungsi sebagai pusat jualan sehenti produk Sarawak turut dihubungkan dengan e-dagang secara digital.

    Ia melibatkan pelbagai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sarawak yang diuruskan secara lebih sistematik dalam satu ekosistem.

    Memetik laporan Utusan Borneo, premis empat tingkat berkenaan yang menempatkan ruang seminar, pejabat, sokongan khidmat e-dagang dan tempat penginapan dan ia bertujuan bagi mempromosi serta memperluaskan produk usahawan Sarawak bukan sahaja di Semenanjung Malaysia malah ke peringkat antarabangsa, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

    Menurutnya, premis berkenaan yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (bersebelahan Pos Malaysia Medan Tuanku).

    Tambahnya, seramai lebih 200 usahawan Sarawak akan menghantar produk ke SPP nanti dan pada waktu ini 32 usahawan sudah menghantar produk masing-masing.

    “Produk tempatan dari Lawas hingga ke Lundu akan ditempatkan di SPP dan ia akan mula dijual kepada pelanggan pada 12 Disember dengan harga yang amat berpatutan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata SPP diuruskan Borneo Marts Enterprise Sdn Bhd, dan dibuka mulai jam 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari.

    Jelasnya, SPP turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Pertanian Sarawak dan Persatuan Anak Sarawak.

    Sehubungan itu untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman webnya www.sarawakpavilion.com.my atau Facebook @sarawakproductpavillion atau Instagram @sarawakpavillion_ official.-Sarawakiana
  • No Comment to " Platform Pasaran Produk Sarawak SPP Bakal Dilancar Januari 2018 "