• PH Sudah Agih 90 Peratus Kerusi PRU-14

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mendakwa sudah selesai kira-kira 90 peratus proses pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen masing-masing.

    Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad, pembahagian kerusi itu melibatkan parti komponen PH di seluruh negara dengan baki sebanyak 10 peratus lagi dijangka selesai dalam tempoh terdekat ini.

    Katanya, beliau sendiri akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam atas tiket PAN Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

    “Pembahagian kerusi Parlimen sudah mencapai 90 peratus dan sekitar 10 peratus lagi atau kurang daripada jumlah itu akan diselesaikan hujung bulan ini,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, di Shah Alam semalam.

    Khalid memenangi kerusi Parlimen pada PRU13 atas tiket Pas, sebelum beliau bersama Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub serta yang lain menyertai PAN tahun lalu.

    Beliau tidak menyatakan jumlah kerusi yang dibahagikan kepada parti komponen PH iaitu DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

    Pada PRU13 tahun 2013, Pas bertanding di 73 kerusi Parlimen, dengan 14 kerusi dimenangi, diikuti DAP 51 kerusi bertanding (37 menang) dan PKR bertanding 99 kerusi (28 menang).

    Bagaimanapun, pada PRU14 ini PH tidak mempunyai halangan untuk mengagihkan kerusi kepada PAN dan PPBM berikutan Pas telah menarik diri untuk berada dalam Gagasan Sejahtera (GS) iaitu blok ketiga pembangkang. – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " PH Sudah Agih 90 Peratus Kerusi PRU-14 "