• Petugas Imigresen di KLIA akan ditukar

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+


    LAHAD DATU: Jabatan Imigresen diarah menukar kakitangannya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan pembongkaran kes sindiket membawa masuk warga asing secara tidak sah.

    Ia susulan penahanan kakitangan jabatan itu yang dipercayai bersekongkol dengan ejen dan sindiket membawa masuk warga asing terutama dari Bangladesh melalui pintu masuk negara, di lapangan terbang berkenaan, baru-baru ini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya sudah meminta supaya kakitangan yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan ditukar dengan kumpulan lain.

    "Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk menukar kumpulan yang disyaki terbabit dengan kumpulan lain.

    "Kita juga akan membawa masuk kakitangan dari bahagian lain untuk ditempatkan di sana," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), di Ibu Pejabat Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengesahkan dua kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas di bahagian pemeriksaan jabatan itu di KLIA ditahan untuk siasatan lanjut berhubung sindiket berkenaan setakat ini.

    Sindiket itu yang didalangi warga Bangladesh dipercayai memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil daripada aktiviti menyeludup rakan senegara melalui KLIA.

    Kumpulan itu dikatakan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen dan pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Petugas Imigresen di KLIA akan ditukar "