• Perpaduan Tunjang Utama PBB Ditubuh

    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    KOTA SAMARAHAN : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ditubuh berikutan persepakatan dan perpaduan kaum yang pelbagai di Sarawak pada awal penubuhannya.

    ADUN Asajaya Datuk Karim Rahman Hamzah berkata, PBB wujud atas kesedaran kepimpinan terdahulu yang beranggapan tanpa penyertaan seluruh etnik dalam parti politik tidak akan mampu bergerak jauh.

    "Sejarah awal parti politik negeri ini bermula apabila kaum Melayu di Kuching menubuh parti politik yang dinamakan Parti Negara Sarawak (PANAS) diasas oleh Datuk Abang Osman dan Datuk Abang Mustapha.

    "Di Sibu pula parti yang dianggotai oleh Melanau dan Melayu ditubuhkan iaitu Parti Anak Jati Sarawak (BERJASA) yang dipimpin oleh Tuanku Haji Bujang, Awang Hipni, Tun Rahman dan Tun Pehin Sri Taib," katanya.

    Jelas Karim, pemimpin terdahulu tahu jika terlalu banyak pecahan parti, maka tidak akan membawa kemana-mana dan perpecahan pasti berlaku.

    "Oleh yang demikian pemimpin-pemimpin tersebut mengetahui tanpa perpaduan kejayaan parti politik tidak dapat dijayakan dan penyatuan parti Panas dan Berjasa pun berlaku sehingga mewujudkan parti Bumiputera.

    "Pun begitu, kepemimpinan Parti Bumiputera turut menyedari bahawa di Sarawak terdapat banyak lagi kaum dan jika parti ini hanya dianggotai oleh orang Melanau dan Melayu sahaja, kemajuan tidak akan dicapai," ujarnya.

    Tambahnya, kepimpinan Parti Bumiputera menyedari etnik-etnik lain perlu juga dijaga jadi pebincangan bersama Parti Pesaka Anak Sarawak pimpinan Tun Jugah dilakukan dan wujudlah PBB.

    "Dengan iltizam menyatukan seluruh kaum di Sarawak, PBB tertubuh dengan bertunjangkan perpaduan untuk mengangkat martabat bangsa Sarawak dalam politik," tambahnya. - Abdul Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Perpaduan Tunjang Utama PBB Ditubuh "