• Perlu Pinda Akta PTPTN

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    GELANG PATAH: Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dipinda sekiranya peranan tabung pinjaman pendidikan itu mahu diperluaskan kepada pelajar yang menuntut di luar negara.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata sebarang pindaan pada Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) itu perlu dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen.

    Katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi mengukuhkan sumber kewangan perbadanan itu berikutan masalah kewangan dialami dua tahun lalu.

    "Kalau nak bawa cadangan ini kena pergi ke Parlimen tetapi kita lupa PTPTN sebelum ini ada masalah kewangan dua tahun dulu, bayar dulu jangan cepat nak suruh.

    "Bayar dulu, dah stabil.... Sebab itu kita perlu ambil tindakan berkesan (untuk meningkatkan kutipan pembayaran balik pinjaman)," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi Di Antara Jabatan Pendidikan Politeknik dengan MMC Corporation Bhd (MMC), di Wisma Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) lalu, yang mahu pembiayaan pendidikan di bawah PTPTN diperluaskan kepada pelajar Malaysia di luar negara.

    Langkah itu dilihat mampu sedikit sebanyak membantu meringankan kos kehidupan pelajar di luar negara yang tinggi dan membebankan.

    Katanya, ia juga boleh menjadi badan pinjaman pendidikan alternatif baharu buat pelajar luar negara yang kini bergantung kepada pinjaman biasiswa daripada entiti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

    Idris bagaimanapun berkata, kutipan pembayaran semula pinjaman PTPTN mula menunjukkan peningkatan beberapa tahun kebelakangan ini dan menjangkakan kutipan balik pinjaman berjumlah lebih RM4 bilion tahun ini.

    "Dua tahun lalu, kutipan bayaran RM2 bilion manakala tahun lalu RM3.4 bilion dan tahun ini dijangka mengutip lebih RM4 bilion. Angka ini boleh diperbaiki lagi, bermakna rakyat Malaysia faham dan mula bayar semula, pinjaman," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perlu Pinda Akta PTPTN "