• Perkenal Kod Etika Ibu Bapa, Penjaga - NUTP

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    SEREMBAN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendesak Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga secepat mungkin bagi melindungi guru.

    Presidennya, Kamarozaman Abd Razak, berkata kod etika berkenaan dapat dijadikan panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

    "Kita sedang menyediakan cadangan kod etika ini dan meminta kementerian untuk bersama-sama dengan NUTP memperkenalkannya di negara ini.

    "Dengan kod etika ini, ibu bapa dan penjaga akan mempunyai garis panduan yang jelas untuk berurusan dengan guru jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu," katanya pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

    Terdahulu, beliau hadir untuk memberi sokongan kepada Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang murid, April lalu.

    Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, bagaimanapun membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan di mahkamah sama Oktober lalu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

    Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata kod etika berkenaan akan dapat melindungi guru daripada menjadi sasaran kemarahan ibu bapa dan penjaga.

    "Kita tidak melindungi guru yang bersalah, tapi dengan adanya kod etika ini, ibu bapa akan mempunyai saluran yang jelas untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dan membantu kedua-dua pihak mencari penyelesaian," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perkenal Kod Etika Ibu Bapa, Penjaga - NUTP "