• Perkara Yang Sudah Termaktub Tidak Boleh Diubah - Abang Jo

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tetap mempertahankan hak Sarawak seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia1963(MA63) agar ia sentiasa ‘manis’ seperti yang dijanjikan pada satu masa dahulu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu MA63 adalah perjanjian antarabangsa yang telah termaktub dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.

    “Kita hanya ingin mendapatkan kembali hak yang telah hilang, namun saya bukannya ingin membuat sesuka hati dalam menuntut hak Sarawak.

    “Saya hantar pasukan peguam ke London supaya kita ada fakta, bukan berdasarkan emosi, tetapi fakta termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

    “Bukan kita hendak emosi, raih populariti… tidak. Apa yang sudah dijanjikan, ini undang-undang dan seharusnya dikembalikan kepada Sarawak,” katanya.

    Beliau yang berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB Pakan, Meluan, Ngemah, Machan, Tamin, Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan Baleh semalam.

    Jelas Abang Jo, ketika berada di London pasukan peguam yang diketuai Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali telah menemui dokumen digunakan semasa zaman penjajah.

    Katanya, semua dokumen dibawa ke London selepas Sarawak mencapai kemerdekaan pada 1963.
    Oleh yang demikian, Ketua Menteri pertama Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan tidak mempunyai salinan dokumen tersebut yang diklasifikasikan sebagai rahsia.

    “Oleh itu, kita membawa kembali dokumen tersebut ke Kuching supaya menjadi milik rakyat Sarawak,” ujarnya.

    Tambah beliau yang juga Presiden PBB berkata, dokumen-dokumen tersebut akan dibentangkan kepada Putrajaya sebagai membuktikan hak-hak Sarawak.

    Beliau turut memetik kata-kata Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Barieng bahawa beliau tidak mahu MA63 itu umpama manis-manis tebu tawar pada akhirnya.

    “Apa yang kita kerjakan mungkin sudah mula masam-masam, sudah mahu pahit rasanya. Kita tidak mahu rasa pahit. Jadi, kita akan perjuangkan supaya kekal manis seperti dijanjikan,” tambahnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Perkara Yang Sudah Termaktub Tidak Boleh Diubah - Abang Jo "