• Perjumpaan Tertutup BN, CPC Bukan Perkara Asing - Tengku Adnan

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Perjumpaan tertutup tidak rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Communist Party of China (CPC) baru-baru ini bukanlah perkara asing ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, yang diadakan untuk bertukar-tukar pandangan.

    Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata CPC merupakan parti pemerintah yang setiap tahun dijemput untuk menghadiri perhimpunan agung tersebut sebelum era pentadbiran Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak lagi.

    Dalam pertemuan itu, katanya antara perkara yang disentuh adalah mengenai Rangka Tindakan 30 tahun CPC, program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi mencapai kedudukan 20 negara terbaik dunia, inisiatif 'One Belt One Road' (OBOR) serta keunikan BN sebagai parti politik pelbagai kaum yang berjaya membentuk Malaysia sejak kemerdekaan.

    "Soal ideologi langsung tidak disentuh malah kedua-dua belah pihak menghormati asas pembentukan parti masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini mengulas penyebaran gambar pertemuan tersebut di internet.

    Pada pertemuan yang berlangsung di Hotel Istana pada 7 Dis lepas itu, BN diwakili oleh Setiausaha Kerjanya Datuk Seri Abu Khamis bersama pemimpin parti komponen BN yang lain manakala delegasi CPC diketuai oleh Ketua Biro Terjemahan CPC Prof Dr Jia Gaojian.

    Tengku Adnan berkata CPC merupakan satu daripada 20 parti politik dari 16 negara yang dijemput bagi menghadiri majlis perasmian dan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada perhimpunan agung itu.

    "Jemputan kepada parti politik negara luar ke Perhimpunan Agung UMNO bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dibuat saban tahun malah dialog antara BN atau mana-mana parti komponennya dengan parti politik dari luar negara juga bukanlah perkara asing.

    "Selain daripada dialog antara BN dan CPC, dialog serta pertemuan secara tertutup dengan parti-parti lain juga telah beberapa kali dijalankan ketika perhimpunan agung tahun ini dan tahun-tahun sebelum,? katanya.

    Hubungan baik antara BN dan CPC bermula sejak 1974 iaitu ketika zaman pentadbiran Tun Abdul Razak, malah pada 23 Sept 1994 ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung ketika itu, Tan Sri Mohamed Rahmat telah mengadakan lawatan bertemu Setiausaha Agung CPC, Jiang Zemin. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Perjumpaan Tertutup BN, CPC Bukan Perkara Asing - Tengku Adnan "