• Perhimpunan Solidariti Bantah Isu Baitulmuqaddis

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA – Satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Masjid Putra di sini Jumaat depan bagi menunjukkan semangat solidariti membantah tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perhimpunan itu akan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan itu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lepas.

    “Saya menyeru rakyat Malaysia termasuk pemimpin NGO tanpa mengira agama untuk berkumpul di Masjid Putra pada Jumaat depan bagi memberikan sokongan sepenuhnya kepada usaha Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu Palestin dan Baitulmuqaddis.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, hari ini.

    Beliau berkata perhimpunan itu akan meliputi tiga ucapan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan seorang wakil NGO.

    Pada sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki baru-baru ini, Najib menggesa OIC supaya bersatu dalam usahanya untuk menolak sebarang langkah mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, sebaliknya, Baitulmuqaddis akhirnya hendaklah menjadi ibu negara Palestin.

    Beliau juga berkata Malaysia mengutuk dan menolak sama sekali keputusan satu pihak oleh Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmu\aqdis.

    Dalam sidang itu, Najib turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu supaya melaksanakan tanggungjawabnya pada kadar segera dengan menggerakkan resolusi berkaitan kepentingan Baitulmuqaddis. –
    – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Perhimpunan Solidariti Bantah Isu Baitulmuqaddis "