• Perhimpunan Agung PBB Terima Pakai Resolusi Berhubung Status Baitulmaqdis

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU -- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis telah menerima pakai resolusi berkaitan status Baitulmaqdis sekali gus menjadikan keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu kota Israel tidak mempunyai kesan dari segi perundangan, lapor agensi berita China Xinhua.

    Dalam satu sidang tergempar khas yang jarang berlaku, deraf resolusi yang dibentang oleh Turki dan Yaman diterima pakai menerusi undian 128 menyokong, 9 menolak manakala 35 berkecuali.

    Sembilan negara yang mengundi untuk menentang teks deraf itu ialah Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Palau, Togo serta Amerika Syarikat dan Israel.

    Resolusi itu "menegaskan bahawa sebarang keputusan dan tindakan yang bermaksud untuk mengubah ciri-ciri, status atau komposisi demografik Kota Suci Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan dari segi perundangan, batal dan tidak sah serta hendaklah dimansuhkan bagi mematuhi resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, dan dalam ini, semua negara diseru untuk mengelak penubuhan misi diplomatik di Kota Suci Baitulmaqdis."

    Ia turut mendesak semua negara anggota PBB mematuhi resolusi Majlis Keselamatan berkaitan Baitulmaqdis, dan tidak mengiktiraf sebarang tindakan atau langkah yang bertentangan dengan semua resolusi berkaitan.

    Undian sedemikian di Perhimpunan Agung PBB adalah tidak mengikat namun satu keputusan "ya" yang begitu lantang menggambarkan kehendak kolektif masyarakat antarabangsa dan membawa pengaruh politik yang amat besar.

    Sebelum undian, Duta AS ke PBB Nikki Haley berulang kali mengancam untuk menghentikan bantuan kepada negara yang menyokong deraf resolusi tersebut selain sumbangan AS kepada PBB.

    Beliau berkata negaranya akan tetap memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

    "Tiada undi dalam PBB yang bakal mengubah perkara itu."

    Bagaimanapun, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu menunjukkan bantahan terhadap tekanan AS.

    "Kami tidak akan ditakut-takutkan. Anda mungkin kuat namun itu tidak bermakna anda betul!"

    Cavusoglu memaklumkan sidang tergempar khas itu mengenai ancaman yang dibuat oleh AS.

    "Sebelum mesyuarat ini, ada sebuah negara anggota PBB yang telah mengugut semua anggota lain. Kami telah diminta untuk mengundi 'tidak' atau berdepan akibatnya. Malah ada yang diancam untuk dihentikan bantuan pembangunan," kata Cavusoglu.

    "Sikap sedemikian tidak boleh diterima. Ini adalah satu pembulian dan badan ini tidak akan tunduk kepadanya. Adalah sesuatu yang tidak beretika untuk berfikir bahawa nilai dan maruah negara anggota boleh dijual beli," katanya.

    Sidang tergempar Perhimpunan Agung PBB pada Khamis telah diadakan selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto bagi menghalang satu deraf resolusi berhubung status Baitulmaqdis di Majlis Keselamatan diluluskan pada Isnin.

    Kesemua 14 anggota lain dalam majlis itu telah mengundi untuk menyokong deraf tersebut.

    Undian Majlis Keselamatan diadakan berikutan pengumuman Trump pada 6 Dis yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israeli dan perpindahan Kedutaan AS ke kota suci itu.

    Di bawah resolusi 1950, satu sidang tergempar khas Perhimpunan Agung boleh dipanggil bagi membolehkan semua negara anggota PBB mempertimbang sesuatu isu "dengan tujuan untuk mengemukakan syor yang sewajarnya" untuk langkah kolektif sekiranya Majlis Keselamatan gagal bertindak.

    Sidang tergempar khas pada Khamis adalah yang ke-10 seumpamanya dalam sejarah PBB.

    Mesyuarat terakhir seumpamanya telah diadakan pada 2009.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Perhimpunan Agung PBB Terima Pakai Resolusi Berhubung Status Baitulmaqdis "