• Perang Kongsi Gelap: 2 Ditahan

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    Polis Johor menahan seorang wanita dan seorang lelaki berusia 19 hingga 22 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan ketua kumpulan kongsi gelap di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru, Ahad lalu.

    Difahamkan kedua-dua individu terbabit bukan suspek kejadian, namun ditahan bagi membantu siasatan untuk mengesan suspek utama kes berkenaan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, individu berkenaan ditahan pasukan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, dalam masa sama pihaknya mengingatkan orang ramai supaya jangan menyebarkan cerita palsu, tidak benar dan berkaitan serta tidak tepat kepada orang awam.

    “€œTindakan itu bukan saja menggusarkan masyarakat malah boleh mengganggu siasatan polis yang fokus untuk menahan suspek terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera berikutan sudah tersebar luas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Mohd Khalil berkata, kekeliruan dan kegusaran yang ditimbulkan itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

    Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa lelaki lingkungan 30-an maut selepas ditikam sebelum dilanggar dan digilis ketika mengisi angin tayar di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi.

    Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kesan tikaman pada dada kiri.

    Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pembunuhan itu berpunca daripada perselisihan dan perebutan antara dua kumpulan kongsi gelap.

    Beliau berkata, pihaknya yakin terdapat perselisihan antara dua kumpulan kongsi gelap berkenaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Perang Kongsi Gelap: 2 Ditahan "