• Peralihan Besar Kepada Industri 4.0 Perlu Dibuat – Abang Johari

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+
    Foto The Borneo Post
    KUCHING: Memandangkan Sarawak belum mencapai sepenuhnya revolusi kedua yang berkisar mengenai mekanisasi, negeri ini perlu membuat peralihan besar kepada Industri 4.0.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, tidak seperti revolusi perindustrian yang terdahulu, Revolusi Industri 4.0 (RI4) sedang berlaku sangat cepat dan ia tidak berlaku sebagai kemajuan linier tetapi pelbagai aspek.

    “Sekiranya Sarawak tidak beralih untuk menerima RI4, kita akan berisiko ketinggalan dalam era digital baharu dan tidak mencapai matlamat untuk menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais di sini, semalam.

    Abang Johari memberitahu, tidak mudah untuk Sarawak melonjak ke Industri 4.0 tetapi negeri ini perlu memberi tindak balas positif kepada perubahan agar tidak ketinggalan.

    Jelasnya lagi, adalah penting untuk PKS dan belia khususnya bersedia mengguna pakai Industri 4.0 agar dapat berdaya saing dalam dunia globalisasi masa kini.

    Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri juga telah memperkenal serta memulakan beberapa inisiatif untuk melonjakkan Sarawak ke dalam Industri 4.0 seperti memperuntukkan RM1 bilion untuk menaik taraf infrastruktur Internet, menubuhkan Kampung Digital di Sama Jaya dan Pusat Inovasi Sarikei termasuk Sarawak Pay baru-baru ini.

    “Kunci keupayaan kita untuk beralih kepada revolusi digital adalah dengan mempunyai sambungan dan infrastruktur Internet yang baik.

    “Kita sedang berusaha keras memperbaiki asas-asas ini, untuk mewujudkan persekitaran di mana teknologi dan inovasi dapat berkembang.

    “Saya berharap langkah-langkah yang kami ambil akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan mendorong belia untuk mengamal Industri 4.0,” ujarnya.

    Beliau berharap semua perkembangan ini akan memberi inspirasi kepada ramai rakyat Sarawak yang berkeupayaan, yang kini berada di luar negara untuk pulang ke tanah air bagi menyumbang ke arah pembangunan negeri.

    “Saya menyeru semua rakyat Sarawak mengambil langkah berani ke arah Industri 4.0, untuk menjadi peserta aktif dalam membawa Malaysia ke arah yang lebih dinamik dan ekonomi yang kuat,” jelasnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Peralihan Besar Kepada Industri 4.0 Perlu Dibuat – Abang Johari "