• Peragut Jahanam

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    Akibat terjatuh dari motosikal ketika cuba diragut di Jalan Empila, Kota Samarahan, seorang gadis 20 tahun terpaksa menerima dua jahitan di kening kanan, malam tadi.

    Selain cedera di kening dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pekerja butik berkenaan juga luka di tangan dan bengkak bibir.

    Mangsa dikenali sebagai Aishah, 20, berkata dia dalam perjalanan pulang di sebuah kampung di daerah ini selepas habis bekerja di sebuah butik di Taman Desa Ilmu.

    Menurutnya, setiba di Jalan Empila, sebuah Yamaha Legenda dinaiki seorang lelaki tiba-tiba menggunakan lampu tinggi sehingga pantulan cahaya pada cermin sisi menyebabkan dia silau.

    “Lelaki itu kemudian merapat di sebelah kanan sebelum tiba-tiba merentap beg sandang menyebabkan saya tidak dapat mengawal motosikal lalu terjatuh," katanya, hari ini.

    Lelaki itu bagaimanapun, gagal merampas beg sandang berkenaan kerana tidak putus ketika direntap dan melarikan diri sebaik mangsa jatuh.

    Menurutnya, dia bernasib baik kerana ketika dalam keadaan menahan kesakitan, satu pasangan suami isteri yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan, berhenti memberi bantuan.

    “Saya dihantar pulang oleh pasangan itu kerana tidak dapat menunggang motosikal sebelum sepupu menghantar saya ke Hospital Jantung Kota Samarahan bagi rawatan susulan,” katanya.

    "Saya sudah membuat laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa untuk mengesan lelaki terbabit," katanya.

    Aishah berkata dia memuat naik kisah pengalaman pahitnya itu itu di Facebook (FB) yang kemudian tular, kerana kecewa dengan penjenayah yang sanggup mempertaruhkan nyawa orang lain demi wang yang sedikit.-myMetro
  • No Comment to " Peragut Jahanam "