• Penyisihan AS daripada proses damai bermula

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kemenangan ke atas Palestin yang dicapai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), semalam, boleh dijadikan pemangkin untuk menyisihkan Amerika Syarikat (AS) itu daripada proses damai.

    UNGA menerusi perhimpunan tergempar semalam menolak keputusan Presiden Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    AS sering dilihat sebagai sebuah kuasa besar yang gagal menggunakan kelebihan kuasa vetonya untuk berlaku adil dalam sebarang penyelesaian pertelingkahan dan pertikaian di peringkat global.

    Pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata menerusi kemenangan moral Palestin itu, sebarang penyelesaian dalam pelbagai isu selepas ini seharusnya dibuat di luar kerangka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi mengelak AS menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan keputusan bersama yang dibuat negara anggota.

    Beliau berkata, penyelesaian seperti itu pernah dilakukan, dengan yang terkini membabitkan perjanjian nuklear antara Iran dan lima negara kuasa veto iaitu AS, United Kingdom (UK), Perancis, China dan Rusia serta Jerman, yang ditandatangani di luar kerangka UNSC.

    "Langkah penyelesaian di luar kerangka UNSC dilihat efektif walaupun Trump mahu membatalkan perjanjian, tetapi ia sukar dilaksanakan kerana UNSC tidak memiliki kuasa veto," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Semalam, negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mencatat undian 128 menyokong, manakala sembilan menentang usul menolak pengiktirafan AS ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

    Satu draf resolusi menolak tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dihantar ke UNGA selepas AS mengguna kuasa veto pada peringkat UNSC, Isnin lalu.

    Resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) tergempar itu memutuskan bahawa langkah diambil Trump sebagai tidak sah dan batal.

    Ia diluluskan walaupun Trump mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara anggota PBB yang mengundi menentang keputusannya.

    Mengulas lanjut, Azmi berkata, keputusan UNGA yang menyaksikan tujuh negara kecil seperti Gautemala, Togo, Nauru dan Palau, tidak termasuk AS dan Israel adalah manifestasi bahawa ugutan Trump tidak mendatangkan sebarang hasil.

    Malah, beliau berkata, sekutu kuat AS seperti UK, Perancis, Jepun dan Jerman turut menempelak keputusan Trump itu.

    "Jika dikaitkan unsur ugutan dengan 35 negara berkecuali dan 21 tidak mengundi, ia boleh diibaratkan resolusi itu mempunyai kekuatan 128+35+21 negara.

    "Walaupun resolusi UNGA tidak segah resolusi UNSC dengan hanya tujuh negara bersama AS dan Israel, adakah Trump masih mahu berpegang kepada keputusan beliau itu sebagai satu perkara yang betul?

    "Rakyat AS sepatutnya berasa aib dengan tingkah laku presiden mereka dalam isu Baitulmaqdis kerana sekutu kuat mereka menjauhkan diri dari negara itu," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penyisihan AS daripada proses damai bermula "