• Penyamun 'Baik Hati'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    Dua pekerja kedai serbaneka 24 jam di Jalan Maarof, Bangsar Park, Kuala Lumpur, berdepan detik cemas apabila premis perniagaan terbabit disamun lelaki bersenjatakan pisau, semalam.

    Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila seorang lelaki bermotosikal memasuki premis perniagaan berkenaan sewaktu dua pekerja terbabit bertugas di kaunter pada 5.30 pagi.

    "Bagaimanapun, suspek yang memakai jaket dan topi keledar terbabit terus mengacukan pisau pemotong sayur ke arah seorang daripada penjaga kaunter terbabit.

    "Suspek kemudiannya mengugut mangsa supaya menyerahkan barangan berharga serta wang tunai sekiranya tidak mahu dicederakan.

    "Susulan itu, suspek merampas wang tunai dari kaunter dan dua telefon pintar milik pekerja terbabit sebelum melarikan diri," katanya ketika ditemui, semalam.

    Menurutnya, selepas melakukan jenayah terbabit, suspek didapati kembali ke premis berkenaan pada 12.10 tengah hari.

    "Suspek didapati datang kembali ke kedai serbaneka terbabit dan menyerahkan kad sim telefon bimbit kepada pekerja premis berkenaan sebelum beredar.

    "Susulan kejadian, pemilik premis terbabit dan dua pekerjanya yang kerugian lebih RM1,300, membuat laporan di Balai Polis Travers, 4.45 petang hari sama.

    "Siasatan sedang giat dilakukan oleh pihak polis termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit bagi mengenalpasti dan mengesan suspek bagi tindakan lanjut," katanya.

    Kejadian turut tular di media sosial apabila video rakaman CCTV sewaktu kejadian tersebar di Facebook.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Penyamun 'Baik Hati' "