• Penurunan Kes Wabak Zika, Chikungunya Dan Zika

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan ada penurunan jumlah kes wabak zika, chikungunya dan denggi, berbanding tahun lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemantauan terhadap virus zika dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati keputusan semuanya negatif.

    "Pemantau terhadap virus zika mula dijalankan sejak awal tahun ini sehingga 16 Disember lalu.

    "Kajian terhadap 2,199 sampel darah dan 33 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus zika adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan.

    Noor Hisham juga berkata, tiada kes Chikungunya baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes Chikungunya kekal sebanyak 269 kes.

    Sementara itu, jumlah kumulatif kes demam denggi sebanyak 81,790 kes, iaitu penurunan sebanyak 16.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016, yang dilaporkan sebanyak 98, 438 kes.

    "Terdapat satu kematian yang dilaporkan pada minggu lalu dan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi di negara ini berjumlah 170 kes sepanjang tahun ini.

    "Jika dibandingkan pada tahun lalu, sebanyak 230 kematian dicatatkan sekali gus ia menunjukkan pengurangan sebanyak 60 kematian," katanya.

    Selain itu, terdapat hanya 17 lokaliti hotspot iaitu di Selangor (10 lokaliti), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (3 lokaliti), Pulau Pinang (2 lokaliti), Perak (1 lokaliti) dan Johor (1 lokaliti).

    Berdasarkan trend laporan kementerian itu, demam denggi pada tahun sebelumnya, akan berlaku peningkatan kes pada akhir tahun dan kemudian akan memuncak pada awal tahun berikutnya.

    Di samping itu, Noor Hisham juga berkata, analisis juga menunjukkan pada bulan Disember terdapat perubahan serotaip denggi dari DEN-3 kepada DEN-2 yang menyebabkan peningkatan kes dan kematian denggi beberapa bulan kemudian.

    Justeru, katanya, tindakan pencegahan dengan pembersihan tempat pembiakan Aedes oleh masyarakat di semua peringkat perlu dilaksanakan bermula awal tahun depan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penurunan Kes Wabak Zika, Chikungunya Dan Zika "