• Penuntut IPT Ditahan Cabul Pelajar Junior

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    SERI ISKANDAR: Seorang penuntut tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, ditahan polis kerana disyaki mencabul pelajar perempuan yang juga juniornya pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata suspek berusia 22 tahun dan berasal dari Kajang, Selangor ditahan di Balai Polis Seri Iskandar, jam 3 pagi semalam.

    Beliau berkata, suspek yang juga penuntut tahun akhir bidang kejuruteraan mekanikal itu, dipercayai mencabul mangsa berusia 22 tahun di dalam kereta miliknya sepanjang perjalanan bermula dari luar kawasan kampus IPT berkenaan sehingga laluan menghala ke Gopeng.

    Katanya, dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang juga penuntut tahun pertama IPT terbabit, keluar bersama suspek untuk mengulangkaji pelajaran di dalam kawasan kampus berkenaan.

    "Bagaimanapun, suspek kemudian membawa mangsa keluar dari kawasan kampus dengan alasan mahu ke kedai serbaneka.

    "Mangsa berasa curiga dan takut apabila sebaik keluar dari kampus suspek mula mengeluarkan perkataan lucah dan terus menghala ke kedai serbaneka di Batu Gajah.

    "Berdasarkan maklumat mangsa, suspek mengeluarkan kata-kata lucah di sepanjang perjalanan. Sebaik singgah di kedai serbaneka, mangsa mendapati suspek membeli minyak bayi yang didakwa kemudiannya digunakan untuk melakukan onani.

    "Sepanjang perjalanan suspek memaksa mangsa melakukan kelakuan tidak senonoh di dalam kereta yang sedang bergerak.

    "Sampai satu tahap, suspek memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan terus melakukan perbuatan tidak senonoh, walaupun mangsa cuba mengelak. Suspek kemudiannya menghantar mangsa balik ke kampus," katanya di sini hari ini.

    Mohd Zainal berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek melalui aplikasi Instagram sejak Ogos lalu dan suspek adalah penuntut senior yang mengambil bidang sama dengan mangsa yang kini di semester pertama.

    Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa awal pagi semalam, polis menahan suspek malam tadi selepas dia menyerah diri di Balai Polis Seri Iskandar sebelum direman selama empat hari hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

    Katanya, polis turut merampas kenderaan suspek untuk siasatan lanjut. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penuntut IPT Ditahan Cabul Pelajar Junior "