• Penjara, sebat kerana merompak

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+


    KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan terhadap seorang peniaga pakaian selepas didapati bersalah merompak buruh binaan dengan pistol tiruan, September lalu.

    Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd Firdaus Hassan, 24, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Firdaus bersama seorang lagi yang masih bebas merompak Mohd Faiz Dollah, 27, secara berkumpulan dengan menggunakan pistol tiruan serta mengambil motosikal Honda EX5 Dream dan dompet milik mangsa di depan kedai serbaneka di Kubang Kerian pada 3.45 pagi, 2 September lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan kerana perlu menyara keluarga.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azlinawati Mohd Arshad, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius dan kepentingan awam.

    "Berikutan mangsa masih trauma selepas dirompak dengan menggunakan senjata, dimohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa daripada tarikh jatuh hukum.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penjara, sebat kerana merompak "