• Pengundi Pembangkang Tak Kisah Ekonomi Buruk Asalkan Tukar Kerajaan

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+


    Penyokong pembangkang didakwa tidak kisah ekonomi negara semakin merudum sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih tampok kepimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang asalkan hasrat menukar kerajaan tercapai.

    Akhbar China Press melaporkan, masyakat Cina kini semakin aktif berbicara isu politik menerusi perbualan Kumpulan WhatsApp dan penyokong pembangkang antara paling lantang memberikan komen.

    "Rata-rata individu yang mahu mengubah kerajaan memberi alasan mereka bertindak sedemikian semata-mata mahu menegakkan kebenaran dan keadilan. Mereka tidak kisah sama ada kehidupan dan ekonomi negara akan bertambah baik ataupun sebaliknya selepas kerajaan bertukar," dedah laporan berkenaan.

    Artikel ditulis oleh Tai Chee Kiong dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai itu menyatakan, penyokong pembangkang menuntut perubahan kerajaan terlebih dahulu dan fikirkan akibatnya kemudian.

    Katanya, individu terbabit berpendapat tidak mengapa jika tersalah pilih Pakatan Harapan yang mungkin membawa kepada kerugian kerana perubahan kerajaan melambangkan pengundi berani membuat perubahan.

    "Dengan memberikan pembangkang peluang memerintah Kerajaan Pusat selama lima tahun, sekurang-kurangnya dapat menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa demokrasi subur di Malaysia dan dapat memastikan belenggu pemerintahan kerajaan BN selama berpuluh-puluh tahun ditamatkan".

    Sepertimana masyarakat Melayu yang kini berpecah mengikut fahaman politik masing-masing, Chee Kiong menyatakan, perkara sama turut berlaku dalam kalangan masyarakat Cina.

    "Ada dalam kalangan penyokong pihak pembangkang sendiri yang bertindak sebaliknya apabila menggunakan media sosial untuk mengkritik kerajaan PKR Selangor dan kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga menyebabkan pengundi Cina berbelah bahagi.

    "Paling melucukan ada pengkritik yang sebelum ini selalu memuat naik komen dalam laman sosial menghentam BN, kini beralih arah dengan meluahkan kemarahan kepada Pakatan Harapan. Dalam satu malam sahaja mereka melawan arus sambil bersemburan air ludah sehingga banjir," katanya.

    Sementara Oriental Daily pula mengulas konflik masyarakat Melayu menjelaskan, Pakatan Harapan tidak boleh menjamin kemenangan berlandaskan pendapat masyarakt Melayu berpecah semata-mata.

    Tan Khim Song menerusi artikel "Bolehkah Ciri-Ciri Mahathir Kejutkan UMNO?" berkata, Pakatan Harapan cuma berpeluang menang dikawasan satu lawan satu berbanding tiga penjuru yang bakal menyaksikan pertembungan Pakatan Harapan-BN- PAS.

    "Kesukaran untuk menang juga berpunca kerana mereka tidak boleh mengharapkan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu berada dalam penjara.

    "Ironinya beliau dipenjarakan kerana pelbagai pendedahan salah laku yang bermula ketika era pemerintahan Dr. Mahathir," kata Khim Song.

    Ujarnya, hasrat Pakatan Harapan untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri mungkin satu langkah strategik tetapi perlu mendapat restu Anwar terlebih dahulu.

    "Musuh yang pernah menganiaya anda, akhirnya menjadi sahabat seperti adik- beradik, perkara itu boleh dianggap satu perubahan positif. Adakah langkah itu tepat dan Dr. Mahathir akan menjadi aset kepada Pakatan Harapan? Sama-samalah kita tunggu keputusan PRU-14 nanti.

    "Jika menjelang PRU-14 masih ada suara-suara sumbang dalam pakatan itu sendiri yang mempertikaikan cadangan meletakkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, ini bermakna hasrat Pakatan Harapan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dengan kekuatan luar biasa tidak akan kesampaian," katanya lagi. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Pengundi Pembangkang Tak Kisah Ekonomi Buruk Asalkan Tukar Kerajaan "