• Pengumuman Trump Jejas Sambutan Krismas

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+

    BAITULMAQDIS: Paderi Katolik berkata tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, menjejaskan sambutan Krismas dan membawa kepada pembatalan ratusan lawatan.

    Paderi Besar Pierbattista Pizzaballa berkata, 'puluhan' kumpulan membatalkan lawatan yang dirancang berikutan bimbang akan wujud ketegangan dan pertempuran susulan tindakan Trump itu.

    Beliau menambah, ketua gereja Kristian di Baitulmaqdis mendapati sukar bagi mereka menerima permohonan rasmi Naib Presiden Mike Pence untuk melawat lokasi suci Kristian di bandar raya itu Januari ini, menggesa beliau 'mendengar' suara penganut Kristian lain.

    "Sudah tentu ia mencetuskan ketegangan sekitar Baitulmaqdis dan menjejaskan Krismas.

    "Selepas ini, ketegangan juga berlaku di Baitulaham. Ini menakutkan ramai orang dan tidak ramai mengunjungi lokasi ini seperti dijangka," kata Pizzaballa.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka akan meneruskan sambutan Krismas seperti dirancang.

    Pizzaballa yang juga paderi Roman Katolik paling kanan di Asia Barat, menegaskan gereja menentang keputusan sebelah pihak Trump mengenai Baitulmaqdis. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Pengumuman Trump Jejas Sambutan Krismas "