• Pengumuman Abang Jo Legakan Penduduk Belaga

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 28 December 2017
    A- A+
    Rata-rata penduduk Belaga melahirkan perasaan lega susulan peruntukan segera berjumlah RM50 juta bagi menaiktaraf fasa pertama Jalan Belaga-Menjawah yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

    Abang Jo mengumumkan peruntukan tersebut ketika berucap di hadapan ribuan penduduk pada Majlis Sambutan Perayaan Krismas di Dewan Masyarakat Belaga.

    Jumlah itu berdasarkan anggaran Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah RM86 juta bagi jalan sepanjang 38 kilometer yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Projek Jiwa Murni pada 2014 itu.

    Abang Jo turut mengarahkan agar semua jalan Jiwa Murni pada masa depan mesti ditukarkan kepada jalan standard PWD R1 selepas setahun siap dan kerajaan negeri perlu dirujuk dalam projek jalan raya tersebut.

    “Mengenai baki RM36 juta anggaran keseluruhan kos, akan disediakan kemudian dalam jangka panjang dan sistematik untuk meningkatkan rangkaian perhubungan jalan raya di daerah ini,” katanya dipetik Utusan Borneo

    Beliau menjelaskan lawatan itu adalah keinginannya untuk melihat permasalahan secara lebih dekat di daerah itu dan cara penyelesaiannya untuk jangka panjang.

    “Saya menyedari masalah komunikasi wujud di sini, justeru daerah Belaga memerlukan rancangan pembangunan sistematik bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.

    Lawatan tersebut merupakan yang pertama sejak beliau menjadi Ketua Menteri - Sarawakiana
  • No Comment to " Pengumuman Abang Jo Legakan Penduduk Belaga "